KUALA LUMPUR – Inisiatif dan program bantuan dana yang dilakukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pertubuhan koperasi komuitni India di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kuskop, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, sebanyak 17 koperasi daripada 200 koperasi komuniti India berdaftar seluruh negara yang memohon dana, 14 daripadanya telah mendapat manfaat tersebut.
“Selepas Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) tahun lalu, dana khas yang disediakan kepada koperasi komuniti India terus mendapat sambutan. Sebelum ini saya telah umumkan dana melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional sebanyak RM30 juta, kemudian ditambah kepada RM60 juta.
“Selepas mendapat sambutan, saya teruskan naikkan lagi dana terbabit baru-baru ini kepada RM100 juta, kalau lihat di sini idea dan inisiatif yang disediakan pihak kerajaan adalah bertepatan dan disokong oleh masyarakat India,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Cura Geran Bantuan dan Tabung Modal Pusingan di Menara SKM hari ini.
Dalam majlis tersebut, geran bantuan bernilai RM175,600 telah diberikan kepada enam buah koperasi komuniti India yang layak, cek cura bantuan pembangunan disampaikan kepada koperasi dua negeri iaitu Wilayah Persekutruan, Kuala Lumpur dan Perak.
Manakala dua lagi koperasi telah menerima Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM).
Katanya lagi, dalam masa terdekat ini, satu pengumuman besar akan dilakukan oleh pihak kementeriannya dalam jumlah bantuan dana yang lebih besar kepada ahli-ahli PKKI seluruh malaysia.
“Dalam masa terdekat saya akan umumkan lagi berita baik, saya tidak mahu sebut jumlah tetapi saya boleh bagitahu ia 10 angka,” jelasnya,
Untuk rekod, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 419 buah koperasi komuniti India berdaftar dengan jumlah keanggotaan sebnayak 249, 599 orang.
Syer dan yuran koperasi komuniti India pula sebanyak RM619 juta dengan jumlah aset sebanyak 1,720 juta, manakala jumlah perolehan adalah sebanyak 334 juta. – KOSMO! ONLINE.