fbpx

RM33.8 bilion perkasa usahawan, PMKS sepanjang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 325 program keusahawanan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan mencecah RM33.8 bilion telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

PETALING JAYA – Sebanyak 325 program keusahawanan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan mencecah RM33.8 bilion telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini membuktikan keberkesanan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK).

Katanya, kejayaan ini turut menunjukkan pencapaian penting dalam pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2024, selain menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa sektor PMKS.

“Kesemua kejayaan ini dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA), iaitu mekanisme utama dalam menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai kementerian dan agensi.

“Selain itu, pelaporan SMEIPA bagi tahun 2024 juga berjaya memperoleh laporan lengkap daripada kesemua 13 Kerajaan Negeri mengenai inisiatif berkaitan pembangunan PMKS,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, ini merupakan pencapaian penting dan pertama kali direkodkan sejak SMEIPA diperkenalkan pada 2006.

Menurut Ahmad Zahid, kesemua kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan melalui empat mesyuarat SEK-MPUPK yang telah diadakan sepanjang tahun lepas bagi memastikan penjajaran dan penyelarasan program keusahawanan yang lebih bersepadu serta pelaporan yang menyeluruh.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPUPK, menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan ekosistem keusahawanan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui inisiatif yang lebih strategik demi kesejahteraan ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI