fbpx

Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris diperluas tingkat penguasaan guru, murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil perhatian saranan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan inisiatif pengukuhan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid di sekolah.

“Ia selaras agenda Reformasi Pendidikan KPM yang turut memberi tumpuan kepada aspek memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris sebagai salah satu hala tuju utama pendidikan negara.

“Bagi memacu pengukuhan Bahasa Inggeris, KPM sedang mempertimbangkan beberapa penambahbaikan segera termasuk pengstrukturan semula pusat tanggungjawab berkenaan bagi memastikan keberkesana dan impak inisiatif sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) memberi penekanan khusus kepada keperluan menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

“Dengan penstrukturan semula ELTC secara radikal ia dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan dan penguasaan guru-guru khususnya daripada aspek latihan dan pengajaran di dalam kelas.

“Fokus KPM bagi memperkasakan Bahasa Inggeris tertumpu kepada empat empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Ia meliputi Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).

“Penggunaan kecerdasan buatan yang optimum di dalam pelantar DELIMA juga kini menjadi peneraju utama dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam
kalangan murid.

“KPM menzahirkan penghargaan atas keprihatian Perdana Menteri terhadap isu-isu yang terkait dengan pendidikan dan akan terus berusaha keras untuk mereformasikan pendidikan negara demi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI