ALOR SETAR – Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 53.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika semua kenderaan tersebut dalam perjalanan menghala ke arah Alor Setar.
Katanya, siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 31 tahun terlanggar bahagian belakang sebuah bas.
“Ia menyebabkan bas itu menggelongsor ke depan dan melanggar sebuah van sebelum merempuh sebuah lagi lori yang berada di hadapannya.
“Akibat kejadian itu, pemandu treler mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu van luka di beberapa bahagian badan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemandu bas dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE