JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju membangunkan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di bandar raya ini bagi menyokong perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perancangan tentang pembinaan ART Bertingkat itu telah dibentangkan di Kabinet, Disember lalu.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan mengeluarkan Notis Pelawaan Cadangan (RFP) dalam masa terdekat.
“Kerajaan Johor memohon pembinaan ART Bertingkat dan kita menyokong hasrat tersebut. Kelebihan sistem pengangkutan ini adalah ia boleh dibangunkan dengan lebih cepat berbanding Transit Aliran Ringan (LRT).
“ART Bertingkat juga lebih fleksibel dimana laluannya melibatkan rel dan juga laluan untuk bas, berbeza berbanding LRT yang hanya untuk satu sistem pengangkutan sahaja,” katanya.
Tambah Siew Fook, perancangan bagi pelaksanaan projek itu adalah secara kerjasama awam dan swasta bagi membolehkan ia dilakukan dengan tempoh masa lebih singkat.
Sementara itu, beliau turut memberitahu sebahagian besar pembinaan infrastruktur rel RTS Link telah berjaya disiapkan menjelang tarikh 31 Januari lepas selain penyiapan penuh kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel bagi Kategori Tahap 1. – KOSMO! ONLINE