JASIN – “Saya masih terdengar suara isteri dan anak-anak meminta tolong, saya minta maaf mak…Saya dengar Laila jerit panggil Damia, Damia,” luah Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, ketika menceritakan kejadian kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, di wad di Hospital Jasin, hari ini.
Dalam tragedi menyayat hati itu, isterinya Laila Fathinah Mustapa, 37 dan empat anak mereka, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi empat tahun ditemui rentung dalam kebakaran di kediaman mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai, dekat sini awal pagi tadi.
Muhammad Khairuddin bagaimanapun terselamat selepas ditarik keluar oleh penduduk kampung.
Katanya, ketika kejadian dia telah cuba untuk memadamkan kebakaran awal, namun tekanan air di rumah tersebut terlalu rendah, manakala api marak dengan sangat cepat.
“Kalau air kuat, saya ambil paip saya boleh tembak (padam kebakaran). Saya panggil Laila, dia menyahut tetapi tidak panggil nama saya dia panggil Damia..Damia.
“Memang saya hendak pergi ke serambi depan (lokasi Laila ditemui rentung) tetapi api marak, orang (penduduk kampung) suruh saya keluar dulu, saya kata tak apa bang, bini saya dekat hujung bang dekat hujung,” ceritanya dalam keadaan hiba.
Dia yang bekerja sendiri kemudian dilihat tidak dapat mengawal emosinya dan hanya meraung menangisi pemergian isteri dan anak-anaknya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri Melaka dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut hadir di wad berkenaan bagi menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang wanita dan empat anaknya ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai dekat sini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemui di bahagian serambi rumah, manakala empat anaknya berada di beberapa lokasi berhampiran pintu rumah.
Katanya, kesemua mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal disebabkan pintu rumah tersebut mempunyai jerjiji dan berkunci. – KOSMO! ONLINE