KUALA TERENGGANU – Padah menerima wang tunai RM1,000 daripada suspek kes dadah pada dua tahun lalu, seorang anggota polis berpangkat konstabel didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan.
“Kesalahan kamu serius dan boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
“Ia juga mencalarkan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ selain anugerah perkhidmatan cemerlang yang pernah kamu perolehi,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Aziz didakwa menerima wang tunai RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di kawasan tempat letak kereta Medan Selera Kota Putera, Besut pada pukul 12.40 tengah hari, 8 Oktober 2023.
Mengikut fakta kes, lelaki yang memberikan wang tunai itu telah ditangkap Abdul Aziz yang bertugas dalam Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dalam serbuan dadah pada sehari sebelumnya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE