PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen (JIM) memperkenalkan kaedah ‘inspektorat’ dengan melaksanakan pemeriksaan secara rutin berbanding tindakan serbuan dan tangkapan ketika penguatkuasaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kaedah ini bertujuan mengenengahkan satu dimensi baharu dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lapangan yang lebih bersifat kemanusiaan.
Katanya, langkah ini bagi memberi ‘keselesaan’ kepada warga asing yang mempunyai dokumen sah.
“Sebelum ini pendekatan kita lebih kepada serbuan di premis atau lokasi yang dikenal pasti lebih awal. Saya lihat perkara ini bukannya tidak berkesan malah berjaya mencapai sasaran dengan tangkapan.
“Tetapi ia menimbulkan keresahan terutamanya bagi mereka (warga asing) yang mempunyai dokumen sah. Mereka rasa tak selesa dan lihat kita mengganggu privasi, mengganggu tidur dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran itu di sini hari ini.
Katanya, pihaknya mencari pendekatan lebih bersifat kemanusiaan dengan pemeriksaan secara rutin dinamakan pemeriksaan inspektorat.
Jelasnya, anggota terlibat dalam pasukan berkenaan akan menjalani lebih banyak sesi latihan.
Sementara itu, ditanya sama ada pasukan inspektorat akan dilengkapi dengan kemudahan kamera badan ketika melakukan penugasan, Zakaria berkata, pihaknya sedang dalam usaha ke arah itu, namun perancangan mengenainya masih di peringkat awal. – KOSMO! ONLINE