KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju membuat penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu mengambil kira kos upah dan kos input pertanian termasuk baja dan racun.
Kata beliau, KPKM juga sedang memuktamadkan perundingan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras turut layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani.
“Kerajaan Madani akan mengekalkan beras putih tempatan (BPT) pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
“Ini bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sekitar 24 juta kampit 10 kilogram di pasaran. KPKM sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan,” katanya pada sidang penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata, pada 27 Februari 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Kedah untuk melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian yang akan menyokong Program Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun yang menelan belanja sekitar RM1 bilion.
Beliau berkata, Kerajaan Madani komited untuk menjadikan industri padi dan beras sebagai tunjang utama kepada keterjaminan makanan negara.
Katanya, matlamat itu dapat direalisasikan demi kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan dengan sokongan semua pihak.
Terdahulu, beliau berkata, industri padi dan beras sedang berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, ancaman perubahan iklim, serangan serangga perosak dan penyakit.
Menurut beliau, kekurangan bekalan BPT serta kelemahan infrastruktur pengairan akan memberi kesan negatif terhadap industri itu khususnya dari segi prestasi pengeluaran.
“Marilah sama-sama kita menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika,” katanya. – KOSMO! ONLINE