PETALING JAYA – Forum Komuniti (Forkom) yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 mencetuskan penyatuan masyarakat serta kesepakatan dalam usaha mengindahkan kawasan sekitar, khususnya di aras lobi lif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FORKOM merupakan inisiatif di bawah Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dilancarkan pada April 2023, bertujuan mengeratkan kerjasama dalam kalangan penduduk perumahan awam melalui keanggotaan ketua atau wakil komuniti.
Katanya, kerajaan Madani memberi perhatian serius terhadap isu miskin bandar dan perumahan rakyat dengan memperuntukkan RM185 juta tahun ini bagi kemudahan asas seperti lif, cat baru serta pembaikan bumbung.
“(Ini) berbanding RM 100 juta telah diperuntukkan masing-masing bagi tahun 2023 dan 2024,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas mengadakan lawatan di PPR Lembah Subang 1, hari ini.
Sebelum mengakhiri lawatan, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi kerja pembaikan lif di PPR berkenaan.
“Saya percaya kawasan ini akan menjadi contoh bagi semua PPR di seluruh negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE