PETALING JAYA – Mimpi jadi kenyataan, penyanyi Siti Nordiana teruja bakal merealisasikan impian bertemu penghibur terkenal Bollywood Udit Narayan yang menjadi idolanya sejak kecil.
Menggandakan lagi kegembiraan apabila dia berpeluang berpadu suara dengan penyanyi legenda itu pada Konsert A Lovely Night with Udit Narayan pada 26 April depan.
“Pada awalnya saya sangka hanya diberi peluang untuk persembahan pembukaan tetapi rupa-rupa berduet dengan penyanyi idola saya.
“Saya terkesima dan tak tahu nak cakap apa. Udit merupakan ikon lagu Bollywood dan tak dinafikan saya membesar dengan nyanylannya.
“Saya tahu kebanyakan lagu filem Bollywood terutama lakonan Shah Rukh Khan adalah suara penyanyi legenda ini,” katanya.
Udit, 70, bakal membawakan rangkaian lagu hitsnya dalam sebuah persembahan mega berdurasi lebih dua jam di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Berkongsi perasaan menjelang konsert, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana mengakui turut berdepan cabaran bagi menjayakan duet tersebut.
Pada masa sama, dia berjanji untuk melaksanakan tanggung jawab dengan baik kerana enggan mengecewakan peminat.
“Sebenarnya saya jadi gementar sebab beliau seorang penghibur tersohor selain mempunyai mutu vokal yang tiada tandingan walaupun sudah berusia.
“Tidak dinafikan ada kerisauan menjelang tarikh persembahan itu nanti tetapi saya pasti latihan mampu membuatkan saya lebih bersedia,” ujarnya.
Tiket bagi acara konsert ini boleh ditempah menerusi laman www.uberticktes.asia. – KOSMO! ONLINE