MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sukar untuk menerima kenyataan apabila dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan selepas tewas 2-3 kepada Real Madrid pada aksi playoff pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Etihad itu, skuad The Citizens berjaya meraih dua gol menerusi Erling Haaland sebelum pelawat bangkit dengan jaringan Kylian Mbappe, Brahim Diaz dan Jude Bellingham.
Kata Guardiola, dua kesilapan mudah yang dilakukan oleh benteng pertahanan menyaksikan pasukan terpaksa pulang dengan tangan kosong meskipun mendahului 2-1 sehingga minit ke-85.
“Ini adalah realiti yang sukar untuk diterima kerana kami mencipta banyak peluang tetapi akhirnya kami tetap tewas. Situasi ini bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya sudah terjadi banyak kali pada musim ini.
“Beberapa kesilapan mudah yang dilakukan terutama di posisi tidak sepatutnya tetapi saya tidak mahu menyalahkan individu semata-mata. Saya percaya masih ada ruang untuk diperbaiki sebelum aksi pusingan kedua nanti,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh pertahanan tengah City, John Stones yang menyeru agar rakan sepasukan memikul lebih tanggungjawab sekiranya berhasrat untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik UCL musim ini.
“Kami baru sahaja tewas besar kepada Arsenal sebelum ini dan kesilapan sama masih lagi dilakukan pasukan. Saya tidak tahu di mana silapnya tetapi pemain perlu lebih bertanggungjawab supaya kami dapat bangkit semula selepas ini,” katanya. – AGENSI