fbpx

Dewan Rakyat: Perhimpunan aman tidak lagi perlu kelulusan tempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebarang perhimpunan aman yang mahu diadakan di negara ini tidak lagi memerlukan kelulusan tempat kecuali bagi tempat-tempat keselamatan seperti pekarangan istana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, Sekyen 11 dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang menyentuh tentang perkara tersebut akan dipinda dan dikeluarkan daripada peraturan.

Sehubungan itu, kata beliau, beberapa tindakan polis termasuk siasatan terhadap perhimpunan anti rasuah melibatkan mahasiswa baru-baru ini akan dihentikan.

Kata beliau, tindakan juga tidak akan diambil terhadap perhimpunan berkaitan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) beberapa hari lalu.

“Ini bermakna keperluan mendapat kelulusan tempat yang disebut dalam beberapa perkara, itu akan dipinda dan diketepikan.

“Sekyen 11 Akta 736 iaitu hendaklah memperoleh persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan yang kini menjadi pertikaian akan dikeluarkan daripada peraturan.

“Yang diperlukan hanyalah untuk apa yang disebut dalam istilah undang-undang, pemberitahuan atau pemakluman kepada pihak polis lima hari sebelum supaya polis dapat menjaga keselamatan, kawalan dan juga lalu lintas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada kerajaan bersedia meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan.

Anwar berkata, syarat lain membabitkan perhimpunan aman melibatan aspek jenayah atau keselamatan seperti undang-undang berkenaan pembawaan senjata dan membawa anak kecil namun masih terpakai.

“Walaupun pindaan (terhadap akta) akan dilakukan dalam sesi akan datang, tetapi kita sudah berikan moratorium yang bermakna polis tidak akan guna pakai undang-undang itu. Ini berita baik daripada Kerajaan Madani yang belum pernah dibuat oleh kerajaan terdahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI