KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dimaklumkan, seramai 8,076 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir menjawab semua kertas peperiksaan bertulis.
Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, berdasarkan data direkod Kementerian Pendidikan (KPM) setakat 6 Februari lalu seramai 6,231 calon terlibat adalah calon sekolah KPM.
“Antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara.
“KPM memandang serius isu ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Fadhlina berkata, bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 386,739 calon baru sudah mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran membabitkan 345,129 calon sekolah KPM.
Katanya, bagi menangani isu ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM, KPM melaksanakan intervensi antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM)
Kata beliau, KPM mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka.
Beliau berkata, turut dilaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta.
Kata Fadhlina KPM turut memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk memantau kehadiran murid ke sekolah dan peperiksaan SPM.
“KPM sudah melaksanakan pengesanan awal murid berisiko cicir dalam kalangan murid tingkatan empat bagi memastikan mereka akan hadir menduduki peperiksaan SPM 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE