KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,026 laman sesawang judi di platform media sosial telah disekat sehingga 1 Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 224,403 kandungan perjudian turut diturunkan bagi tempoh sama.
Jelas beliau, kesalahan perjudian adalah di bawah peruntukan Akta RumahPerjudian Terbuka 1953 (Akta 289) yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah bidang kuasa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) komited dalam memberi kerjasama.
“Kerjasama penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berhubung langkah diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian
Fahmi berkata, MCMC mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.
Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan KodTatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC.
“Sejak kita memulakan proses dan rejim perlesenan ini kita dapati banyak platform memberi respon berbeza, ada yang sangat bersedia untuk memberi kerjasama, ada yang culas dan memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan proses.
“Secara umum, dalam platform seperti YouTube kita dapati iklan judi juga banyak disiarkan dari 1 Januari hingga tengah malam tadi sebanyak 5,167 kandungan dipohon untuk diturunkan dan 5,115 yang YouTube sudah turunkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE