fbpx

BAMTC : Malaysia pulang awal, tunduk 2-3 kepada Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pemain negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing ketika diturun pada perlawanan kedua menentang Indonesia.

KUALA LUMPUR – Harapan pasukan badminton negara untuk melangkah lebih jauh pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China musnah selepas tewas 2-3 kepada Indonesia, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara pulang lebih awal setelah berada di kedudukan terakhir Kumpulan B tanpa sebarang mata apabila turut tumpas 2-3 kepada Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B semalam.

Pada aksi menentang Indonesia, Malaysia yang turun dengan misi wajib menang dilihat mempamerkan aksi goyah apabila tewas dalam dua perlawanan awal selepas beregu campuran berpengalaman negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa tunduk kepada pasangan ranking No. 126 dunia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-17, 13-21, 18-21 dalam masa 64 minit.

Harapan untuk melihat pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa bangkit mencari mata penyamaan di Pusat Sukan Qingdao Conson tersebut turut tidak berhasil apabila tewas di tangan Komang Ayu Cahya Dewi 12-21, 19-21 dalam masa hanya 38 minit.

Bagaimanapun, kekecewaan tersebut berjaya di tebus pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao selepas bangkit menumbangkan pemain ranking No. 63 dunia, Yohanes Saut Marcellyno menerusi keputusan 11-21, 22-20, 21-12.

Kemenangan tersebut tidak mengubah keputusan apabila Malaysia terpaksa akur tewas kepada Indonesia selepas gandingan wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dikejutkan tewas kepada pasangan ranking No. 60 dunia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose.

Biarpun Pei Kee-Mei Xing berada di ranking No. 48 dunia, ia bukan jaminan untuk mereka menang mudah selepas tewas 21-18, 7-21,17-21 dalam masa 86 minit sekali gus menutup peluang skuad badminton negara menempah tiket ke suku akhir esok.

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun sebagai pelengkap jadual perlawanan terakhir tetap memberikan terbaik apabila menang dengan mengatasi Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian edisi sebelum ini dengan melangkah ke peringkat suku akhir.

Hasil keputusan tersebut, Indonesia kini muncul juara kumpulan dengan melakar dua kemenangan berturut-turut selepas membelasah Hong Kong 5-0 dan kedua-dua pasukan tersebut akan melangkah ke pentas suku akhir. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN