fbpx

‘Bagi bukti, demi Allah saya tak jejak mahkamah syariah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Uqasha menafikan rumah tangganya dengan Kamal di ambang perpisahan.

KUALA LUMPUR – Didakwa ke mahkamah syariah, pelakon Uqasha meminta pihak yang menyebarkan tuduhan perkahwinannya dengan Kamal Adli di ambang perpisahan agar tampil mengemukakan bukti.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke mahkamah syariah seperti disebarkan pihak tertentu.

“Kalau saya ke mahkamah syariah, mestilah ada nama saya di sana. Jika benar cerita saya sudah sampai mahkamah, berilah bukti. Mahkamah mana? Memang saya tak pergi, demi Allah.

“Saya pun tengah sibuk dengan anak. Bila masa pula timbul dakwaan saya patah balik, mana ada yang buat macam itu. (Kalau) sudah ke mahkamah, pergi teruslah.

“Sudah tentu saya nafikan dakwaan tersebut sepenuhnya. Insya-Allah selagi boleh kami berdua mahu jaga sebaik-baiknya rumah tangga ini,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di sini, hari ini.

Menurut pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, dirinya enggan lagi melayan spekulasi liar selain menganggap tiada perkara perlu dibimbangkan berkenaan gosip yang bertebaran.

“Saya tak rasa apa-apa pun. Apa yang hangat diperkatakan adalah perkara yang tidak berasas. Selagi benda belum jadi atau tidak benar, tiada apa perlu dirisaukan.

“Saya pun tak terfikir nak ambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bercakap. Mulut orang mana kita tak boleh nak tutup.

“Paling penting hubungan saya dan suami juga dalam keadaan baik. Saya pun tahu kisah kononnya saya ke mahkamah daripada Kamal yang ditanya media semalam,” ujarnya.

Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut merasakan tidak perlu untuk terlalu berkongsi kisah peribadi kepada khalayak kerana bimbangkan penyakit ain.

Baginya setiap suami isteri melalui pasang surut kehidupan tidak kira status mahupun latar belakang mereka.

“Dalam rumah tangga ini tidak semua indah belaka. Takkan saya nak ceritakan hal dalam kain pula kepada orang luar.

“Perlukah saya kongsi gambar untuk menunjukkan masih bersama Kamal? Saya tak perlu buat semua itu untuk memuaskan hati semua orang,” jelasnya.

Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas tersebar spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka di ambang kehancuran.

Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira yang kini berusia 10 bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI