PETALING JAYA – Sebuah pasar raya tular di media sosial apabila menjual biji cempedak berharga RM2 bagi berat sebanyak 250 gram (g).
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook bernama Melissa Halim, perkara itu dianggap jarang berlaku kerana kebiasaannya biji akan dibuang selepas isi cempedak dimakan.
Bagaimanapun, biji cempedak turut menjadi kegemaran sesetengah orang untuk dimasak secara tumis sambal atau dimakan begitu sahaja selepas direbus.
Pelbagai khasiat yang terkandung dalam biji buah cempedak yang sudah direbus antaranya mampu meningkatkan metabolisma tubuh seseorang individu.
Justeru, perkongsian pengguna itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga media sosial, namun ramai yang berpandangan bahawa zaman kini apa sahaja boleh dijual asalkan mendapat keuntungan.
“Tidak hairan dah orang jual biji cempedak sebab memang ada perniagaan orang menjual dan mencari biji ni. Siap timbang lagi, jadi tidak pelik,” komen Syah.
“Sedap ni dimakan buat rebus. Oklah zaman sekarang memang kena kreatif, apa pun boleh jual untuk dapat duit,” komen Yasmin.
“Jangan terkejut kalau lepas ni orang jual kulit dia. Biji durian pun silap hari bulan akan dijual tak lama lagi,” komen Othman. – KOSMO! ONLINE