JEMPOL – Bekas guru ganti yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, di sini malam kelmarin, sangat rapat dengan tiga remaja itu yang turut maut dalam kemalangan.
Ketika kejadian itu, Mohd. Najmuddin Shapie, 31, bersama tiga lagi mangsa dalam perjalanan ke Pekan Bahau untuk makan malam.
Kakak Mohd. Najmuddin, Nurfatin Farhanah Shapie, 35, berkata, sebelum kejadian, arwah yang dipanggil Dek Mat meminta izin meminjam kereta Perodua Axia miliknya kerana
keretanya rosak.
“Kira-kira pukul 9 malam, saya WhatsApp adik minta beli minyak motosikal, namun hairan apabila hanya satu tick. Saya fikir mungkin bateri habis. Tak lama lepas tu, saya dimaklumkan adik kemalangan dan diminta untuk membuat pengecaman,” katanya.
Menurutnya, semasa pengecaman mayat, dia melihat arwah adiknya seolah-olah seperti tidur dan tenang.
“Dia memang suka tidur, tapi apabila dia tidur tak bangun-bangun, saya sebak. Dek Mat memang seorang yang peramah serta ceria. Kalau dalam keluarga dialah penghibur. Apabila jadi macam ini, kami rasa ralat juga.
“Hujung tahun lalu, dia buat kenduri jemput saudara mara, siap beli daging lapan kilogram jamu jemputan, malah 5 Februari lalu, Dek Mat juga belikan kek untuk sambutan ulang tahun perkahwinan ibu bapa kami,” katanya di rumah keluarga di Felda Palong 4.
Menurutnya, biarpun arwah sudah tidak menjadi guru ganti dan kini bertugas sebagai Imam Surau Ladang FGV Palong 18, namun hubungannya dengan bekas anak murid masih rapat.
Katanya, arwah merupakan harapan ibu bapa kerana berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dalam jurusan ijazah Bahasa Arab.
Jenazah Mohd. Najmuddin Shapie dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong 4, manakala jenazah tiga remaja lain di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 9, 10 dan 11. – KOSMO! ONLINE