fbpx

4 premis diserbu, 262 tayar celup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (kiri) bersama Aedy Fadly (dua dari kiri) memeriksa tayar celup yang dirampas pada sidang akhbar di Puchong hari ini.

PUCHONG – Tindakan licik pengilang tayar celup pneumatik menggunakan penandaan standard MS 224 secara tidak sah terbongkar dalam serbuan ke atas empat premis di Jalan Meranti Jaya, Taman Industri Meranti Permai, di sini hari ini.

Hasil serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebanyak 262 unit tayar celup pneumatik yang menggunakan label SIRIM Berhad (SIRIM) secara tidak sah dirampas bersama dokumen berkaitan perniagaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan selama sebulan terhadap premis terbabit yang dipercayai mengilang dan membekalkan tayar celup tidak mengikut piawaian.

“Pemeriksaan mendapati pengilang berkenaan tidak mendapat pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. tetapi tetap menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka.

“Kegiatan ini jelas melanggar Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 dan boleh mengancam keselamatan pengguna di jalan raya. Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM80,410,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan SIRIM.

Tambah Azman, dalam serbuan itu pihak berkuasa turut mengesan beberapa pengilang yang masih menggunakan label yang telah tamat tempoh bagi mengaburi pihak berkuasa dan pengguna.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti kebolehlaksanaan beberapa prosedur tambahan, termasuklah mewajibkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) melabel setiap tayar kenderaan yang menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian MS 224 dipatuhi.

“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan tayar celup di pasaran supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan produk yang tidak menepati spesifikasi keselamatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI