GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia terpaksa menahan kesakitan apabila tangan kanannya tersepit pada mesin memerah tebu dalam kejadian di Flat Uda, Jalan Tanjung Tokong di sini, hari ini.
Mangsa berusia 45 tahun sebelum itu dikatakan sedang memproses air tebu di sebuah premis makanan kira-kira pukul 9.30 pagi.
Akibat kejadian tersebut, beberapa jari mangsa hingga bahagian atas dekat pergelangan tangannya dikatakan mengalami kecederaan parah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.39 pagi dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersepit di celah mesin tebu dengan menggunakan peralatan khas kurang dari tempoh lima minit.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh pihak APM untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.49 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE