JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentua di sebuah rumah di Taman Sri Skudai, di sini awal bulan ini.
Tertuduh, Zuraidi Zakaria, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Epah Daik, 79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai pada pukul 4.20 petang, 5 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA). – KOSMO! ONLINE