AMPANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikejarkan ke hospital akibat dipatuk ular sawa batik yang bersembunyi dalam mangkuk tandas rumahnya di Pangsapuri Prima Court, di sini pagi semalam.
Ibu mangsa, Adibah Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, anak lelakinya bernama Hadi cedera di celah kelangkang dan tangan.
“Kejadian berlaku pada pukul 11 pagi ketika Hadi masuk ke tandas bilik utama. Apabila membuka penutup mangkuk tandas untuk membuang air kecil, dia dipatuk ular sawa batik.
“Dia cedera dipatuk di celah kelengkang dan tangan. Dia kemudian segera meluru keluar dan menjerit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Adibah, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur, manakala anak lelaki berusia setahun bermain di ruang tamu.
“Saya tengok Hadi keluar dari tandas dengan darah menitik. Saya segera minta bantuan jiran untuk membuat panggilan kepada pihak ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujarnya.
Ular sawa batik itu ditangkap anggota APM kira-kira pukul 1.14 tengah hari, manakala Hadi dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
“Alhamdulillah dia stabil dan ditahan untuk pemantauan. Kami duduk di tingkat 1 berdekatan Zoo Negara. Tak pasti dari mana ular sawa batik itu masuk,” ceritanya.
Seramai empat anggota APM dikejarkan ke pangsapuri terbabit selepas menerima panggilan pukul 12.24 tengah hari.
Anggota APM tiba di lokasi kira-kira pukul 1.10 tengah hari dan menangkap reptilia tersebut empat minit kemudian.-KOSMO! ONLINE.