ROM – Majlis Bandaraya Venice akan menaikkan bayaran kemasukan pelancong daripada €5 (RM24) kepada €10 (RM47) bermula April ini, lapor akhbar Metro UK semalam.
Langkah itu dibuat selepas tempoh percubaan sistem tiket pada tahun lalu dapat mengurangkan bilangan pelancong yang membanjiri bandar bersejarah tersebut.
Bayaran itu akan dikenakan kepada semua pelancong yang mengunjungi Venice pada saat akhir atau menempah tiket empat hari sebelum tiba.
“Orang ramai yang melawat antara pukul 8.30 pagi hingga 4 petang (waktu tempatan) perlu membayar tiket, manakala pelancong yang tinggal semalaman dan telah membayar cukai pelancongan dikecualikan,” tambahnya.
Pelancong boleh membayar tiket kemasukan melalui laman web rasmi, Venice Access Fee dengan memuat turun kod QR di pintu masuk utama bandar termasuk stesen kereta api.
Ahli majlis pelancongan Venice, Simone Venturini berkata, percubaan rancangan bagi sistem tiket tahun berjalan dengan lancar.
“Matlamatnya tetap sama iaitu mewujudkan sistem baharu untuk mengawal selia aliran pelancong bagi menjamin penghormatan terhadap tapak warisan,” tambah Venturini. – AGENSI