MILAN – Jurulatih AC Milan, Sergio Conceicao percaya kehadiran ramai pemain bertaraf bintang pada jendela perpindahan lepas mencerahkan lagi peluang buat pasukan untuk mencapai kejayaan pada kempen musim ini.
Menurut Conceicao, tiga pemain yang baharu ditandatangani, Joao Felix, Santiago Gimenez dan Kyle Walker boleh diturunkan menjelang aksi playoff pertama bertemu Feyenoord di Stadium De Kuip awal pagi esok.
Conceicao berkata, kehadiran mereka cukup sesuai dengan falsafah bola sepak yang cuba diterapkan seperti ketika membimbing pasukan Porto sebelum ini.
“Buat masa ini, saya belum boleh membandingkan Milan dengan Porto kerana kedua-dua pasukan ini berbeza. Namun, saya berusaha untuk menerapkan falsafah bola sepak saya dalam pasukan Milan.
“Saya mahu mereka semua lebih kompak di posisi pertahanan dan agresif ketika menyerang. Justeru, kehadiran pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan lepas membantu pasukan ke arah itu.
“Secara peribadi, saya juga terkejut apabila pemain seperti Gimenez dan Felix dapat menyesuaikan diri dengan mudah. Saya harap mereka dapat membantu pasukan melangkah jauh terutama pada kempen UCL nanti,” katanya.
Sebelum ini pihak pengurusan Rossoneri berjaya mendapatkan khidmat Felix secara pinjaman daripada kelab Chelsea, Walker (pinjaman daripada Manchester City) dan mengeluarkan dana besar untuk menandatangani Gimenez daripada kelab Feyenoord. – AGENSI