GLASGOW – Penyerang Bayern Munich, Harry Kane tidak mahu terlalu beri perhatian kepada pencapaian peribadi dan fokusnya kini lebih terarah kepada kejayaan pasukan.
Awal pagi esok Bayern Munich akan berkunjung ke Celtic Park untuk hadapi Celtic dalam saingan playoff Liga Juara-Juara dan Kane mahu memainkan peranan lebih besar, bukannya terhad kepada tugasan menjaringkan gol
“Saya adalah pemain nombor sembilan selaku penjaring gol, tetapi saya juga boleh memainkan peranan berbeza. Pemain nombor sembilan dinilai menerusi jaringan, tetapi saya boleh turun lebih ke bawah membantu pasukan ketika ditekan.
“Saya fikir itu adalah lebih penting, jika saya tidak menjarigkan gol saya tetap mahu menghadirkan impak besar dalam aspek lain. Lihat saja kepada tekanan yang kami lakukan, semuanya bermula dengan pemain jersi nombor sembilan,” katanya.
Bintang utama England itu menegaskan impiannya itu tidak hanya omong kosong kerana ia bersandarkan kepada pengalamannya yang pernah beraksi di posisi tengah.
Mengimbau semula perjalanan kariernya, Kane sedar tidak semua penyerang akan bernasib baik mampu menjaringkan gol walaupun sudah bekerja keras untuk melakukan sentuhan penyudah.
“Saya bekerja keras untuk melakukan penyudah tetapi bukan semua perlawanan saya mampu lakukannya. Ketika peringkat remaja, saya pernah bermain di posisi tengah dan ia membolehkan saya kenal pasti rakan sepasukan di sekeliling saya,” ujarnya. – AGENSI