SHAH ALAM – Tiga syarikat baharu yang dilantik melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) belum diberikan diberikan lesen operasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya ketiga-tiga syarikat berkenaan hanya diberikan kelulusan bersyarat bagi melengkapkan keperluan infrastruktur dalam tempoh dua tahun.
Katanya, ia kemudiannya akan diperiksa terlebih dahulu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum lesen operasi dikeluarkan kepada mereka.
“Kita menggunakan kaedah pelesenan, jadi bukannya soal bagi kontrak, tak ada pun. Kerajaan tak bayar apa-apa kepada syarikat ini untuk menubuhkan pusat pemeriksaan tersebut. Mereka salah cakap, kita hanya memberikan kelulusan bersyarat.
“Kalau mereka dapat menyediakan iaitu mesin, peralatan dan kompenan yang diperlukan untuk PPKM, baru lesen operasi dapat dikeluarkan. Jadi, tidak timbul soal kontrak diberikan kepada semua syarikat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di Bandar Elmina, di sini hari ini.
Anthony Loke turut menjelaskan, pelantikan itu juga tidak terhad kepada tiga syarikat terbabit sahaja dan terbuka kepada mana-mana syarikat lain selagi memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan. – KOSMO! ONLINE