ARAU – Kanak-kanak tular dipukul, ditolak oleh ibu sendiri di sebuah pasar raya kini berada di bawah jagaan bapa serta neneknya di Jerlun, Kedah dengan pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pemeriksaan perubatan mendapati tiada kecederaan serius pada tubuh mangsa seperti yang didakwa dalam hantaran tular sebelum ini.
“Pemeriksaan doktor di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menunjukkan tiada kesan luka lama atau kecederaan yang boleh dikaitkan dengan penderaan.
“Hasil imbasan sinar X turut mendapati tiada sebarang kesan retak pada mana-mana bahagian tubuh mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan kini tertumpu kepada niat dan tindakan suspek sama ada mempunyai unsur penderaan atau kecederaan terhadap mangsa dan kes akan dirujuk kepada pihak pendakwaan dengan cadangan pertuduhan terhadap suspek.
Sementara itu, Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, adik mangsa turut ditempatkan di bawah jagaan bapa dengan pengawasan dan seliaan JKM.
“Sesi intervensi krisis dan sokongan keluarga bersama pegawai psikologi JKM telah disusun bagi membantu kanak-kanak serta keluarga ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE