JEMPOL – Sepasang suami isteri mualaf maut apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah – Simpang Pertang, berhampiran Kampung Air Bong, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, penunggang motosikal, Mohammad Daud Karim, 28, dan isterinya, Murni Siong, 40, dari Kampung Parit Gong, Pertang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu kereta seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Simpang Pertang menuju ke Kuala Pilah tiba-tiba hilang kawalan dan berpusing secara melintang lalu memasuki laluan bertentangan.
“Dalam masa sama datang sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan telah melanggar kereta itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE