SEOUL – Pentadbiran Metropolitan Seoul akan memberikan ganjaran 1 juta won (RM3,000) kepada pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di bandar raya itu dalam usaha meningkatkan kelahiran bayi, lapor laman berita Korea Times kelmarin.
Inisiatif diberi nama ‘perbelanjaan sara hidup perkahwinan’ itu bertujuan membantu pengantin baharu membeli peralatan rumah dan perabot selepas berkahwin.
“Selepas berunding dengan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, kami akan mengagihkan subsidi tersebut bermula Oktober ini,” kata pihak berkuasa tersebut dalam satu kenyataan.
Pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka pada 2025 dan memiliki pendapatan kurang 5.89 juta won (RM18,100) bagi isi rumah dua orang, layak menerima manfaat itu.
Kira-kira 20,000 pasangan dijangka mendapat manfaat daripada program bantuan tunai baharu tersebut.
Pada masa sama, pihak berkuasa merancang memperluaskan skop bantuan dengan memasukkan pasangan berpendapatan sehingga 7.07 juta won (RM21,700) bagi isi rumah dua orang ke dalam skim tersebut.
Dasar berkenaan bertujuan untuk meneruskan trend kelahiran bayi dengan mengukuhkan sokongan perkahwinan, bersalin dan keibubapaan, selepas kadar kelahiran di Korea Selatan meningkat buat kali pertama tahun lalu.
Menurut data Statistik Korea, Seoul menyaksikan 8,568 kelahiran dari Januari hingga November 2024, meningkat 5.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 iaitu 36,703 kelahiran.
Bilangan bayi yang dilahirkan di Seoul juga meningkat setiap bulan pada tahun lalu berbanding 2023, kecuali Januari dan Mac di mana masing-masing menyaksikan penurunan sembilan dan empat peratus. – AGENSI