fbpx

‘Rezeki bukan untuk saya seorang, kena kongsi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATTAH tidak lokek berkongsi rezeki dengan orang sekelilingnya termasuk keluarga dan pengurusan. – ISKANDAR ISHAK

SEJAK sah bercerai pada Oktober tahun lalu, rezeki pelakon Fattah Amin semakin mencurah-curah apabila pelbagai tawaran terbang ke ribanya.

Tidak hanya menjadi duta pelbagai produk, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin itu juga semakin rancak menyusun jadual lakonan yang padat.

Bagaimanapun, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui agak selektif apabila perlu meneliti dan menapis setiap tawaran yang datang.

“Dulu pun ada, cuma rezeki saya paling nampak lepas bercerai. Allah bagi melimpah ruah.

“Saya tak boleh kawal rezeki tetapi tak boleh kaut semua. Ada yang saya tapis juga.

“Setakat ini, semua klien yang saya terima dipercayai dari segi kualiti produk dan penjenamaan,” katanya kepada KOSMO! ONLINE.

Berkongsi lanjut, Fattah juga tidak sangka rezeki mencurah-curah sehingga terpaksa bekerja pada hari minggu demi menyara keluarga tercinta.

KUAT bekerja, jadual Fattah penuh sehingga tiada masa bercuti termasuk hujung minggu.

Namun, dia menganggap peluang tersebut mampu membuka lebih banyak pintu dan ruang kepada orang sekelilingnya.

“Saya pun tak sangka tahun baharu mula dengan langkah kanan. Rezeki ini bukan untuk saya seorang tetapi buat pihak pengurusan, pengurus, keluarga dan anak saya. Senang cerita, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

“Kita sama-sama kongsi rezeki. Rezeki saya murah bukan untuk saya seorang tetapi orang sekeliling juga dapat merasa.

“Setiap hari saya akan bekerja sampai tahap tak ingat apa yang perlu buat untuk minggu hadapan atau dua minggu depan.

“Apa yang saya tahu, bulan ini tiada cuti, Sabtu dan Ahad pun kerja. Kalau betul-betul penat baru beritahu pengurus untuk berehat sekejap,” ujarnya.

Perniagaan sendiri

Selain menjadi duta, pelakon drama popular Lelaki Melayu Terakhir itu turut mengendalikan perniagaan sendiri di bawah syarikat FA Limited Edition.

Terbaharu, bapa kepada seorang anak itu melancarkan hijab di bawah jenama Tudung Azizah yang diinspirasikan daripada nama ibundanya.

“Saya juga ada produk sendiri di bawah jenama FA Limited Edition dan keluarkan tudung Azizah.

“Lagipun saya ada pengalaman berniaga, jadi segala pengetahuan itu saya gunakan untuk usahakan jenama ini.

“Sekarang saya guna platform sendiri, bawa mak saya sekali kerana dia juga peminat tudung labuh bidang 50,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI