PATTAYA – Sebilangan pelancong di Thailand membuang air kecil dan besar berhampiran kereta milik Timbalan Ketua Polis di Pattaya, lapor laman berita The Pattaya News kelmarin.
Ia berlaku selepas tandas balai polis bandar itu ditutup kerana bekalan air terputus.
Menurut wartawan tempatan, terdapat kumpulan pelancong tempatan dan asing kerap berkumpul di hadapan Balai Polis Pattaya untuk menikmati minuman dan suasana tepi laut.
Bagaimanapun, ujarnya, ramai pelancong bergantung kepada tandas balai polis untuk melepaskan ‘hajat’ mereka.
Baru-baru ini, anggota polis meletakkan notis di pintu masuk yang menyatakan bahawa bekalan air telah terputus, menyebabkan tandas tidak beroperasi sejak tiga hingga empat hari lalu.
Ini menyebabkan beberapa pengunjung terpaksa menggunakan tandas persendirian berhampiran dengan bayaran 5 baht (RM0.65) hingga 10 baht (RM1.30).
Beberapa pelancong bagaimanapun bertindak membuang air kecil berhampiran pintu masuk rumah pangsa polis di tepi jalan berhampiran.
Seorang daripada mereka dilaporkan membuang air besar berhampiran kereta Timbalan Ketua Polis Pattaya.
Tidak dinyatakan mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil ke atas mereka. – AGENSI