fbpx

Pasangan kekasih lepas bebas edar, miliki dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pirabagaran dan Azmeliza bersama peguam mereka selepas dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan di Mahkamah Tinggi hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pengurus keselamatan dan kekasihnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap B. Pirabagaran, 25, dan Azmeliza Amilhamja, 30, di akhir kes pendakwaan.

Norsharidah dalam penghakimannya menegaskan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kawalan, jagaan dan pengetahuan kedua-dua tertuduh terhadap kesemua dadah tersebut.

“Ini disebabkan dadah itu dijumpai dalam beg galas atas lantai di lokasi kejadian dan mereka ditangkap di luar sebelum dibawa ke lokasi penemuan tersebut.

“Apartmen (yang dikatakan rumah mereka) ada kad akses, namun tidak boleh dibuktikan berapa kad akses yang ada serta siapa yang keluar dan masuk. Jadi, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pirabagaran dan Azmeliza secara bersama dituduh mengedar methamphetamine seberat 81.01 gram dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Mereka juga didakwa memiliki 4.29 gram (g) heroin dan 0.47g Monoacetylmorphine mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh memiliki racun Flualprazolam seberat 5.39g yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah apartmen di Petaling Jaya dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 22 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim telah mengemukakan seramai sembilan saksi manakala Peguam Navin Punj dan Amarpreet Singh mewakili kedua-dua tertuduh sepanjang prosiding perbicaraan bermula 9 Julai tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI