KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa lelaki didakwa Datuk Paiman Shakimon yang dihukum penjara 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen bukan ahli perniagaan itu sebaliknya seorang warga Indonesia.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, pihak pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan keraguan munasabah bahawa lelaki Indonesia Aldrin Pratama Widjaja selaku responden bernama Paiman dalam prosiding inkuiri bagi mengenal pasti identiti Paiman.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil berkata, berdasarkan kepada ketulenan pasport responden, Kedutaan Republik Indonesia mengesahkan lelaki itu adalah Aldrin.
“Responden dikategorikan sebagai Aldrin dan dokumen peribadi seperti kad pengenalan Republik Indonesia, lesen memandu dan kad kebenaran pemegang senjata api (syarat izin kegunaan senjata api) atas nama Aldrin,” kata hakim itu.
Penghakiman lanjut turut menyatakan, spesimen cap ibu jari yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan ia hampir sempadan atas nama Paiman Bin Shakimon.
“Pada pandangan saya, hasil proses carian sepatutnya dinyatakan sepadan atau tidak sepadan. Hampir sempadan menunjukkan hasil proses carian itu tidak konklusif, yang mana terdapat keraguan cap ibu jari itu milik Paiman Bin Shakimon,” katanya.
Pada masa sama, mahkamah turut mendapati laporan semakan JPN terhadap nombor kad pengenalan berlaku percanggahan tarikh lahir, yang mana tarikh lahir pada kad pengenalan Aldrin pada 1 Jun 1960 manakala Paiman 23 Mac 1959.
“Mengapa pihak pendakwaan tidak pernah menjelaskan tentang percanggahan tersebut. Jika pendakwaan menyatakan Aldrin dan Paiman merujuk kepada orang sama iaitu Paiman, mengapa dia mempunyai tarikh lahir berbeza,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, manakala peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Aldrin.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan enam hari bermula 18 September untuk prosiding inkuiri bagi menentukan sama ada lelaki yang dipenjara 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen adalah ahli perniagaan “Datuk Paiman Shakimon”.
Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan semua pihak bersetuju meneruskan proses inkuiri.
Pada 2 Disember 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Paiman yang menghilangkan diri selama sembilan tahun dipenjara 13 tahun bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 2011 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu serta memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.
Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu menghilangkan diri. Pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap manakala waran pemenjaraan terhadapnya dikeluarkan pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir prosiding rayuan.
Paiman, 66, diberkas polis selepas didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia dengan nama Aldrin Pratama Widjaja. Semakan menggunakan sistem biometrik cap jari di JPN menunjukkan lelaki itu adalah Paiman bin Shakimon.
Bagaimanapun, Aldrin Pratama Widjaja sehingga kini menafikan dia adalah Paiman dan pada 2023, lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.
Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki itu.
Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.
Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – KOSMO! ONLINE