PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan keputusan kerajaan tidak menyambung perkhidmatan 30,000 kakitangan kontrak yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tidak adil.
Presiden, Datuk Dr Adnan Mat, berkata, ia berikutan keputusan itu tidak mengambil kira pengalaman selama enam tahun mereka dalam perkhidmatan kontrak dan turut membebankan mereka yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam.
Susulan itu, pihaknya mendesak agar perbincangan segera diadakan antara kerajaan dan Cuepacs bagi mencari penyelesaian menang-menang serta tidak menindas kebajikan kakitangan kontrak dalam sektor awam.
“Pengiktirafan pengalaman kerja perlu diberi. Kerajaan hendaklah mengambil kira pengalaman enam tahun dalam perkhidmatan kontrak untuk penyambungan perkhidmatan mereka ke gred 1 SSPA (Skim Saraan Perkhidmatan Awam), sebagaimana yang diberikan kepada jawatan tetap.
“Selain itu adalah pengekalan jawatan kontrak SSM (Sistem Saraan Malaysia). Bagi mereka yang tidak cukup enam tahun pengalaman dan tidak memiliki SPM, lantikan kontrak mereka perlu diteruskan di bawah sistem SSM bagi memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan secara mendadak,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih ihsan dan adil terhadap nasib kakitangan kontrak yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam.
“Mereka telah menyumbang kepada perkhidmatan awam dengan penuh dedikasi dan tidak seharusnya diperlakukan seperti pekerja sementara yang boleh diberhentikan begitu sahaja,” ujarnya.
Selain itu itu, beliau turut menyenaraikan beberapa isu yang dihadapi penjawat awam apabila kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung.
Isu pertama jelas Adnan, melibatkan penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak bergred 11 hingga 18 kerana tidak memenuhi syarat kelayakan SPM, walaupun mereka telah lama berkhidmat dan menyumbang kepada sektor awam.
“Kedua, pengalaman tidak diambil kira. Mereka yang telah berkhidmat selama enam tahun dalam jawatan kontrak tidak layak dipertimbangkan ke gred 1 SSPA, sedangkan bagi jawatan tetap, pengalaman ini diambil kira.
“Ketiga adalah kakitangan kontrak kehilangan kerja. Ada kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat bertahun-tahun, namun kini diberhentikan tanpa sebarang jaminan pekerjaan.
“Seterusnya adalah perubahan kontrak perkhidmatan. Sebahagian kakitangan telah ditukar daripada status ‘contract for service’ ke ‘contract of service’, yang menimbulkan kekeliruan dalam aspek faedah dan perlindungan kerja,” ujarnya.
Turut dibangkitkan adalah isu berkaitan beban emosi dan kesedihan kakitangan terlibat.
“Ramai kakitangan kontrak yang kehilangan kerja dalam keadaan mereka telah lama berkhidmat dan bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan ini.
“Isu lain adalah usia lanjut tanpa jaminan kerja. Ada yang telah berkhidmat sebagai kakitangan kontrak selama lebih 15 tahun dan kini kehilangan kerja secara serta-merta, menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan baharu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE