SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, membayar lebih RM9 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Shaariibuu Setev, berkata Pesuruhjaya Kehakiman M.Sumathi memerintahkan demikian dengan kedua-dua pihak berkenaaan mendepositkan bayaran dalam tempoh 30 hari ke dalam akaun firma guaman Karpal Singh & Co sehingga rayuan dilupuskan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua pihak itu membayar 50 peratus daripada jumlah berkenaan terlebih dahulu.
Sementara itu, berdasarkan penghakiman, Sumathi membenarkan penangguhan bersyarat terhadap kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan ketiga dan keempat, sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan RMRM9,404,109.60.
“Bagi memastikan keadilan, mahkamah membenarkan penangguhan bersyarat, di mana defendan ketiga perlu mendepositkan sejumlah RM4,702,054.80 iaitu 50 peratus daripada jumlah penghakiman termasuk faedah,” kata penghakiman tersebut.
Dalam pada itu, Penguam Kanan Persekutuan Samihah Rhazali yang mewakili kerajaan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Pada 16 Disember 2022,, keluarga Altantuya menang dalam saman kematian wanita itu apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia membayar RM5juta sebagai ganti am dan teladan.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.
Mahkamah berpendapat, jumlah ganti rugi RM5 juta disifatkan adil dan memadai berbanding RM100 juta yang difailkan tersebut yang disifatkan adalah berlebihan dan tidak boleh ditakfrifkan berdasarkan prinsip sahaja.
Sebelum ini bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.
Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan. -KOSMO! ONLINE