REVOLUSI skuad Harimau Malaya bakal sempurna sekiranya berjaya mendapatkan khidmat penyerang import sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva sebagai penggempur utama pasukan kebangsaan pada masa akan datang.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, kehadiran Bergson berpotensi untuk menaikkan prestasi pasukan yang kini dalam misi layak ke kejohanan Piala Asia 2027 nanti.
“Sekiranya benar Bergson bakal dinaturalisasi, saya rasa ini adalah berita baik buat Harimau Malaya kerana kita tahu dia punya kebolehan. Peminat bola sepak tempatan patut rasa teruja dan raikan kerana dia mampu berikan impak yang diharapkan.
“Jika dilihat, posisi penyerang adalah kelemahan utama dan keperluan skuad kebangsaan sebelum ini. Saya percaya kehadirannya bakal melengkapkan pasukan menjadi lebih sempurna.
“Cuma, saya risau mengenai aspek semangat patriotisme kerana ketika beraksi dengan JDT, dia sangat cemerlang, tetapi kita tidak tahu jika momentum sama dapat dikekalkan bersama Harimau Malaya nanti,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, pemain berasal dari Brazil itu memberi petanda bakal dinaturalisasi selepas mengemas kini bendera Jalur Gemilang di profil Instagram miliknya baru-baru ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan atau kenyataan dikeluarkan oleh pengurusan kelab JDT atau pemain berusia 34 tahun itu secara rasmi setakat ini.
Bergson yang sudah beraksi bersama Harimau Selatan sejak 2021 boleh dinaturalisasikan apabila cukup tempoh beraksi di Malaysia.