fbpx

KDN nafi tangkap peserta serahan memorandum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan berlakunya sebarang tangkapan terhadap peserta serahan memorandum di Kompleks Setia Perkasa pada 10 Februari lalu.

KDN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menegaskan peserta penyerahan memorandum dipanggil bertujuan memberikan keterangan polis.

Katanya, ia susulan daripada laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, 1959 (Akta 298).

“Laporan polis itu ialah tatacara lazim (SOP) seandainya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN.

“Polis juga telah menerangkan perkara ini seperti kenyataan media mereka, di mana beberapa peserta telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat,” katanya hari ini.

KDN berkata, tiada sebarang tangkapan juga dibuat terhadap peserta berkenaan.

“Pengguna media sosial dinasihati untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber tepat bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

“Selain itu, perlu sentiasa mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.

Terdahulu, polis menafikan menahan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy hari ini seperti yang dilaporkan menerusi beberapa portal berita.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya hanya merekod percakapan Sevan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI