SHAH ALAM – Sekolah Antarabangsa Idrissi (Idrissi) yang juga sekolah antarabangsa eko-Islamik pertama di negara ini, bakal memperuntukkan antara RM20 juta hingga 30 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi pelan pengembangannya pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gains Education, Julie Wong berkata, jumlah pelaburan tersebut akan digunapakai untuk projek menambah baik keperluan sekolah antarabangsa swasta yang menawarkan rangkaian prasekolah, sekolah rendah dan juga sekolah menengah secara berfasa.
Gains Education adalah syarikat induk Sekolah Antarabangsa Idrissi
Menurut beliau, salah satu projek terbaharunya adalah membuka cawangan ketiga sekolah tersebut di Bukit Jelutong dekat sini yang akan mula beroperasi pada bulan September tahun ini.
“Kampus terbaharu ini memiliki keluasan lebih besar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan terbaharu seperti perpustakaan termasuk perpustakaan di kawasan luar, kawasan rekreasi dan sukan yang lebih besar dan pelbagai lagi seiring konsep alam sekitar yang diterapkan dalam sekolah ini.
“Kami teruja dengan pembukaan sekolah ketiga kami di Bukit Jelutong, Shah Alam pada tahun ini, yang bakal memuatkan kira-kira 1,000 pelajar.
“Perancangan terkini turut merangkumi pengenalan Sekolah Antarabangsa Tahfiz Idrissi yang menggabungkan pendidikan antarabangsa dan Islamik serta dilengkapi dengan asrama khas.
“Kami turut mempunyai perancangan membuka cawangan baharu di Cyberjaya dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang tahun Idrissi ke-10 di sini baru-baru ini.
Idrissi yang bermula tahun 2015 kini memiliki lebih daripada 700 pelajar dan ia turut beroperasi melalui dua cawangan di Setia Alam dan juga di Johor Bahru.
Julie menerangkan, majoriti murid di Setia Alam terdiri daripada pelajar tempatan tetapi di Johor Bahru sebanyak 60 peratus daripada muridnya terdiri daripada anak ekspatriat dan juga warga negara Singapura yang mana sekolah tersebut menyediakan asrama untuk kumpulan murid berkenaan.
Idrissi menawarkan sistem pembelajaran yang unik terdiri daripada kurikulum antarabangsa Cambridge, kurikulum Islam yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kurikulum Reka Bentuk dan Teknologi moden yang direka khas untuk menggalakkan kreativiti pelajar. -KOSMO! ONLINE