LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool perlu melupakan kekalahan mereka pada pusingan keempat Piala FA kepada Plymouth Argyle kelmarin dan kembali memberikan fokus pada aksi liga.
Perlawanan derbi Merseyside menentang seteru setempat, Everton menjadi pertembungan yang cukup penting buat skuad kendalian Arne Slot apabila dengan kemenangan membolehkan mereka mengesahkan jurang sembilan mata di puncak liga berbanding pencabar terdekat Arsenal.
Bagaimanapun, dalam keghairahan tersebut The Reds perlu berhati-hati apabila kekalahan kali ini pastinya akan merosakkan motivasi seluruh pasukan dan meningkatkan semangat pasukan pencabar lain untuk memburu kedudukan mereka.
Aksi menentang Plymouth menyaksikan Slot membuat 10 pertukaran, namun menentang The Toffess akan menyaksikan kesemua pemain bintangnya kembali berada dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, bekas penyerang Liverpool, John Aldridge menyelar keputusan Slot membuat perubahan dalam kesebelasan utama ketika menentang Plymouth dan menganggap kekalahan itu menyebabkan mereka yang diturunkan berdepan Everton menggalas tekanan tinggi.
“Saya fikir Slot melakukan kesilapan pertama dan saya berharap itu juga yang terakhir ketika percaturan menentang Plymouth. Beliau telah meletakkan tekanan kepada pemain yang akan beraksi pada perlawanan derbi nanti.
“Semua pemain tonggak dianggap mendapat rehat yang cukup, jadi mereka tidak boleh memberikan sebarang keputusan berbeza kecuali menang. Itu akan menjadi satu tekanan yang mungkin boleh merosakkan perancangan pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Liverpool mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan kanan, Trent Alexander-Arnold pada perlawanan itu yang disahkan mengalami kecederaan menyebabkan calon pengganti terbaik yang dimiliki ketika ini adalah Conor Bradley. – AGENSI