KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan jiran sekampungnya dengan menggunakan sebilah sabit di Kampung Chekok, Panji dekat sini kira-kira empat tahun lalu.
Tertuduh, Sallehuddin Shafie@Safie, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki yang berusia 53 tahun di sebuah rumah di Kampung Chekok, Panji di sini kira-kira pukul 10 malam pada 2 Jun 2021.
Sallehuddin didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tetuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE