CANBERRA – Sejenis tumbuhan terancam yang berbau sangat busuk akhirnya mekar buat kali pertama selepas 15 tahun di sebuah taman botani di Australia, lapor laman berita Sky News kelmarin.
Dikenali sebagai ‘bunga mayat’ atau nama saintifiknya titan arum, tumbuhan itu mekar sekitar waktu tengah hari pada Sabtu lalu di Taman Botani Kebangsaan Australian, Canberra.
Titan arum juga dikenali sebagai bunga bangkai yang tumbuh meliar di barat Pulau Sumatera, Indonesia.
Selain mengambil masa sehingga sedekad untuk mekar, bunga mayat juga mengeluarkan bau seperti daging mereput dan bangkai.
Ramai pengunjung yang hadir ke taman berkenaan menutup hidung mereka kerana tidak tahan dengan aromanya.
Pemangku pengurus tapak semaian Canberra, Carol Dale berkata, baunya sama seperti bangkai, telur dan stokin busuk, najis manusia serta sampah sarap.
“Pada petang Sabtu, baunya semakin menyengat. Kami dapat menghidunya dari jarak jauh dan ia sangat tidak menyenangkan,” tambah Dale. – AGENSI