RAUB – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut apabila kereta yang dipandu bapanya terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung berhampiran jambatan besi Pekan Tras, Jalan Lama Raub-Bentong semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang durian dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.
“Bapa kanak-kanak itu yang masih sedar kemudian berusaha membawa keluar anak perempuannya daripada dalam kenderaan ke atas tebing namun mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan sudah tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini
Menurutnya petugas perubatan dari Hospital Raub yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujarnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca pemanduan secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. – KOSMO! ONLINE