PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) untuk memperhalusi kelulusan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan melalui pendekatan Enterprise Architecture (EA) secara holistik.
Perdana Menteri berkata, langkah itu mengambil kira kolaboratif merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat dan perkhidmatan selaras dengan hasrat kerajaan dalam perbelanjaan berhemah.
“Saya tegaskan kepada kementerian dan agensi terlibat agar mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan.
“Ini bagi memastikan hasil inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MED4IRN di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut membentangkan kemajuan pelaporan terkini terkait dengan agenda transformasi negara yang menunjukkan perkembangan positif.
Menurut Anwar, antaranya perkhidmatan Wifi di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis yang telah selesai dinaik taraf.
“Penambahbaikan (perkhidmatan WIfi) akan diperluaskan kepada 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam, 24 Institusi Pendidikan Politeknik dan 43 Kolej Komuniti,” katanya. – KOSMO ! ONLINE