fbpx

Amir musykil, pekerja sakit kepala lepas sentuh syiling ‘sihir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBELUM ini, Amir pernah berniaga air di Kajang, Selangor.

PETALING JAYA – Baru memulakan perniagaan ayam goreng, pelawak Amir Raja Lawak berdepan kejadian misteri apabila beberapa keping duit syiling dijumpai di dalam kedainya di Kota Bharu, Kelantan sejak sebulan lalu.

Lebih pelik, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 35, mendakwa, ramai pelanggan mengadu kedainya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV selalu ‘ditutup’.

Pengunjung yang datang ke kedai selalu tanya kenapa kedai saya selalu tutup, walhal operasi perniagaan saya buka seawal pukul 11 pagi.

“Itu yang menjadi kemusykilan dan lama-kelamaan saya sedar penemuan syiling sejak sebulan lalu mempunyai kaitan dengan sihir,” katanya menerusi perkongsian TikTok.

Pada masa sama, Amir turut mendedahkan pekerjanya juga kerap mengadu sakit kepala dan badan dipercayai akibat menyentuh syiling yang ditemui.

Rentetan itu, pelakon terbabit bertemu pengamal perubatan Islam bagi mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi apatah lagi pernah berhadapan isu sama ketika berniaga air jagung.

“Saya ada pengalaman sama ketika berniaga air menerusi bonet kereta di Kajang, Selangor dahulu apabila terjumpa syiling berterabur di tapak jualan.

Bagaimanapun, perkara ini dapat dielak kerana kaedah jualan secara bergerak dan saya tiada masalah berpindah ke lokasi lain, tapi kali ini saya buka kedai. Tak mudah untuk elakkan,” ujarnya.

Amir juga mengakui tidak mempunyai musuh selain menganggap perkara tersebut sebagai adat berniaga dan hanya menyerahkan isu tersebut kepada Allah.

Perkongsiannya meraih pelbagai maklum balas netizen yang mendedahkan pernah berdepan masalah berkaitan sihir disebabkan sifat dengki segelintir individu.

“Hati-hati Amir kalau syiling selalu ada. Kak Long satu keluarga sakit sebab kutip duit syiling,” kata seorang pengikutnya.

“Duit syiling antara cara buat orang ‘terkena’. Elak kutip,” nasihat netizen lain.

Terdahulu, Amir berniaga ayam goreng di bawah sebuah francais popular dengan memilih Kelantan sebagai lokasi perniagaan sekitar September 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI