PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana agensi kerajaan tidak lagi boleh menubuhkan anak syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Anwar berkata, ia penting kerana terlalu banyak syarikat berkaitan kerajaan yang mencatatkan kerugian besar.
Beliau mengakui membatalkan syarikat yang gagal bukan tugas mudah, namun ia perlu dilakukan demi reformasi institusi negara.
“Saya telah meminta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon yang juga Ketua Sekretariat, Pejabat Penyelaras Badan Rasionalisasi Badan berkanun Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi menyeragamkan agensi kerajaan.
“Perkara ini juga akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum saya putuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan dan pelancaran Sistem iPayment di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 2,000 syarikat kerajaan akan diaudit dengan lebih cekap dan sistematik menerusi sistem e-SelfAudit yang dibangunkan Jabatan Audit Negara (JAN) mulai tahun ini. – KOSMO! ONLINE