fbpx

9,550 anggota wanita berkhidmat dalam ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 9,550 orang anggota wanita berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat 31 Disember 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu seramai 6,574 daripadanya ialah tentera darat, 1,953 anggota tentera laut dan 1,023 anggota tentera udara.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa komited menghantar anggota dan pasukan keselamatan khususnya yang melibatkan anggota wanita dalam pelbagai misi penting.

“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 222 anggota wanita ATM telah berkhidmat di luar negara.

“Mereka terlibat dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik, serta tugasan diplomatik ketenteraan,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan berapa bilangan anggota tentera wanita yang masih berkhidmat di dalam sektor darat, udara dan laut serta berapa bilangan anggota tentera wanita yang dihantar ke misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu Adly memaklumkan sehingga kini, ATM telah melaksanakan tiga misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan 118 anggota wanita.

“Pertama, Op STARLIGHT bagi memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh melibatkan penugasan seramai 89 anggota wanita (36 peratus daripada 245 jumlah keseluruhan anggota misi).

“Selain itu, Op STARLIGHT bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye melibatkan penugasan seramai 21 anggota wanita (19 peratus daripada 110 penglibatan keseluruhan anggota misi),” katanya.

Katanya, ATM turut melaksanakan misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia melibatkan penugasan lapan anggota wanita (11 peratus daripada 70 penglibatan keseluruhan anggota misi).

“Selain itu, seramai 85 anggota wanita turut dihantar bagi penugasan  dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI