PETALING JAYA – Keseronokan sebuah keluarga terserempak dengan seekor gajah di atas jalan bertukar cemas apabila haiwan liar tersebut secara tiba-tiba berlari ke arah kereta yang dinaiki mereka.
Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok mamaelly2203, kejadian itu berlaku semalam sewaktu mereka sekeluarga melalui jalan di Hulu Perak.
Dalam video tersebut, kedengaran suara keluarga tersebut cemas melihat gajah berkenaan yang berlari ke arah mereka dan kemudian suami kepada pengguna TikTok itu mengundurkan keretanya.
“Aku terkejut wei, seronok sangat nak jumpa gajah, seronok sangat nak jumpa. Aku tak berani wei, dalam kereta ni tak berani.
“Biar pi lah orang nak kata apa. Dekat dah pun. Seronok sangat lah, itu lah aku kata,” kata lelaki yang juga pemandu kereta berkenaan.
Ia disusuli permohonan maaf anaknya ‘sorry ayah’ yang dikatakan pada mulanya teruja dan seronok untuk bertemu gajah tersebut.
Menerusi ruangan komen, selain berasa cemas dengan situasi berkenaan, orang ramai ada yang terhibur dengan bebelan lelaki tersebut kepada anaknya.
“Niat nak tengok, ha dia bagi tengok depan-depan,” kata seorang pengguna TikTok.
“Benda takut tapi ayah dia, ‘seronok sangat hampa’,” komen individu lain.
“Seronok sangat nak jumpa gajah,” ujar individu lain. – KOSMO! ONLINE
@mamaelly2203♬ original sound – cheqellykitche22_