JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak seorang lelaki lain menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Jalan Wong Ah Fook, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.52 petang menyebabkan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.
“Suspek berjaya diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis. Manakala siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, tular beberapa rakaman video dan gambar memaparkan seorang lelaki telah ditahan polis terbaring di atas lantai, manakala video lain memaparkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.-KOSMO! ONLINE