BALIK PULAU – Seramai lapan mangsa termasuk kanak-kanak dan warga emas cedera setelah kenderaan yang mereka naiki terlibat kemalangan sebelum terbakar berhampiran dusun durian, Jalan Balik Pulau, di sini awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.40 pagi itu melibatkan kereta jenis Mercedes Benz dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dari arah bertentangan.
Empat mangsa terdiri penumpang Perodua Alza iaitu dua wanita termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan patah kaki dan tangan, manakala seorang lagi wanita mengalami kecederaan dalaman.
Mangsa yang cedera ringan pula ialah pemandu Perodua Alza dan tiga pemuda yang menaiki Mercedes Benz berusia 21 hingga 23 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.47 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Balik Pulau.
“Kebakaran melibatkan dua buah kenderaan akibat kemalangan jalan raya di selekoh laluan berbukit dan kedua-dua kenderaan itu musnah 90 peratus.
“Kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan, St John dan Penang First Responder yang turut berada di lokasi kejadian.
“Mereka berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam dan polis yang tiba terlebih dahulu di lokasi berkenaan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital pada pukul 4.10 pagi tadi untuk rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE